Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Polis masih memburu beberapa lagi individu yang disyaki terbabit pergaduhan dua kumpulan di Taman Melor, Kampung Kuantan di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, setakat ini enam lelaki berusia 22 hingga 35 tahun sudah ditahan untuk membantu siasatan.

"Kita giat mengesan tiga atau empat lagi suspek yang terbabit rusuhan itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil menghubungi pihaknya atau balai polis terdekat.

Menurutnya, siasatan awal mendapati dua kumpulan itu bergaduh berpunca daripada perselisihan faham dan enam suspek yang ditahan direman empat hari hingga esok.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 kanun sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 6:33 PM