GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Essa Abu Yamin


Muar: Tiga individu warga tempatan termasuk wanita ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia dekat sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Muar Superintendan Muhammad Aidil Roneh berkata, polis menyerbu premis di dua lokasi berasingan di Jalan Abdul Rahman dan Jalan Abdullah di sini, pada 4 petang.

"Polis menahan tiga suspek termasuk seorang wanita berusia antara 27 hingga 62 tahun kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia.

"Selain tangkapan, polis turut merampas telefon bimbit dan dokumen berkaitan daripada suspek bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan.

Muhammad Aidil berkata, susulan penahanan dan serbuan itu, polis berjaya menyelamatkan enam wanita warga Indonesia berusia antara 20 hingga 35 tahun yang menjadi mangsa sindiket penyeludupan manusia.

"Dipercayai mangsa yang kesemuanya warga Indonesia itu bekerja sebagai tukang cuci di premis termasuk rumah di sekitar daerah ini.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

"Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda," katanya.

Katanya, polis menggalakkan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan mahupun sindiket pemerdagangan orang dan penyeludupan migran dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis melalui Bilik Gerakan IPD Muar di talian 06-9526001.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 3:06 PM