RAKAMAN gambar yang di muat naik Bung Moktar di media sosial. FOTO Facebook Datuk Seri Bung Moktar Radin
RAKAMAN gambar yang di muat naik Bung Moktar di media sosial. FOTO Facebook Datuk Seri Bung Moktar Radin
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, tampil memberi penjelasan mengenai keadaan kesihatannya berikutan tular khabar angin mengatakan beliau sakit dan terlantar di hospital.

Khabar angin itu tersebar di media sosial semalam, sehari selepas Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah diperintah Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk membela diri berhubung kes rasuah yang dihadapinya.

Dalam satu hantaran di akaun Facebook beliau malam tadi, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Ketua Umno Sabah, mengesahkan yang beliau dalam keadaan yang tenang dan sihat seperti biasa.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu turut memuat naik beberapa keping gambar yang menunjukkan beliau dalam keadaan yang cergas sambil duduk menikmati minuman dan buah-buahan yang terhidang di atas meja.

Dalam gambar berkenaan juga kelihatan sekeping kertas seperti dokumen kerja di atas meja di hadapannya, memberi gambaran yang beliau kekal melaksanakan tugas.

"Kepada semua rakan-rakan dan juga musuh-musuh politik, don't worried (jangan bimbang) saya kekal di posisi yang tenang dan masih sihat dalam perlindungan Allah," katanya.

Semalam, tular khabar angin melalui Facebook dan Whatsapp mengatakan Bung Moktar jatuh sakit berdasarkan sekeping gambar yang menunjukkan beliau sedang terlantar di atas katil hospital.

Dalam gambar itu kelihatan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan dan Setiausaha Umno Sabah yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Arifin sedang menziarahi Bung Moktar.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Bung Moktar, Jaafar Abdul Wahid ketika dihubungi berkata gambar itu adalah gambar lama ketika Bung Moktar baru balik daripada menjalani rawatan buah pinggang di China pada 2015 atau 2016.

Jumaat lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengarahkan Bung Moktar bersama isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membela diri atas tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Ia selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pasangan berkenaan berhubung dakwaan rasuah yang berlaku ketika Bung Moktar menjadi Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 8:53 AM