Rosli Ilham

Dungun: "Ini adalah penemuan kali kedua dan mencatatkan sejarah buat kami di sini," kata Pengurus Projek Konservasi Penyu, Lang Tengah Turtle Watch di Tanjung Jara Resort Dungun, Abidah Zaaba, berhubung penemuan seekor anak penyu agar yang berkepala dua.

Menurutnya, anak penyu itu ditemui ketika membuat kerja pemeriksaan sarang terbabit pada 30 Ogos lalu, kira-kira jam 11 pagi.

"Pada 1 Julai lalu, 110 telur penyu diperam dalam sarang. Kini hampir dua bulan, telur menetas dan terdapat 57 anak penyu.

"Ketika melakukan pemeriksaan terhadap sarang terbabit, kami terkejut apabila menemui seekor anak penyu berkepala dua yang masih hidup," katanya.

ABIDAH Zaaba menunjukkan penyu berkepala dua yang baru menetas. FOTO Rosli Ilham
ABIDAH Zaaba menunjukkan penyu berkepala dua yang baru menetas. FOTO Rosli Ilham

Katanya, turut diperiksa baki 53 telur yang gagal menetas itu dan salah satunya adalah anak penyu kembar namun sudah mati.

"Penemuan anak penyu berkepala dua itu adalah yang kedua ditemui dan kali pertama pada Jun tahun lalu dan bagaimanapun ia ditemui mati di dalam telur."

"Anak penyu berkepala dua itu kemudiannya dihantar ke Pusat Penerangan dan Informasi Penyu di Rantau Abang kerana pihak kami tiada kepakaran dan pengalaman menjaga anak penyu seperti itu," katanya.

Menurutnya, telur penyu itu dibeli daripada pemajak di Teluk Batu, Pantai Kijal, sekitar Kerteh, Kijal dan Kuala Dungun untuk diperam di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 9:39 AM