Aizat Sharif


Padang Besar: Sebanyak 3,245 liter petrol dan diesel bersubsidi bernilai RM138,186.25 yang cuba diseludup ke Thailand dirampas penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Perlis selepas menyerbu sebuah stor tidak bernombor di Jalan Jirat Cina, Kampung Melayu Padang Besar, di sini hari ini.

Dalam serbuan jam 7 pagi itu, tiga lelaki termasuk dua warga Thailand dipercayai pemandu dua trak pikap dengan nombor pendaftaran Thailand yang berada dalam premis berkenaan bagaimanapun berjaya meloloskan diri ketika serbuan dilakukan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Perlis, Mohd Amir Abdullah berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat orang ramai mengenai penyeludupan petrol dan diesel di stor berkenaan dan melakukan risikan selama dua minggu.

"Ketika serbuan, kita terserempak dengan tiga lelaki. Salah seorang daripadanya dipercayai penjaga stor itu bertempiaran lari sebelum menghilangkan diri di sekitar rumah penduduk berhampiran.

"Pemeriksaan kita menjumpai dua trak pikap dengan nombor pendaftaran Thailand yang berisi petrol di dalam tangki yang diubahsuai.

"Selain itu pemeriksaan juga menemui tangki tambahan termasuk hos minyak yang diubahsuai untuk memindahkan minyak ke dalam pikap yang tiba dari Thailand," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di Kampung Melayu Padang Besar, di sini hari ini.

Katanya, siasatan awal pihaknya mendapati stor berkenaan dijadikan sebagai transit oleh sindiket untuk menyeludup petrol dan diesel bersubsidi ke negara jiran.

"Sindiket akan mengisi petrol serta diesel yang dibeli daripada beberapa stesen minyak berhampiran dan dikumpulkan dalam stor berkenaan. Kemudian, ia diisi semula ke dalam 15 tong dram minyak untuk petrol manakala dua tangki plastik putih untuk diesel.

"Ketika serbuan dibuat, kita hanya menemui sekitar 3,245 liter saja berbanding isipadu penuh sebanyak 5,000 liter.

"Rangkaian sindiket ini dari Thailand kemudian akan memasuki Malaysia menerusi Padang Besar sebaik saja pintu sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQs) Padang Besar dibuka," katanya.

Menurutnya, semakan juga mendapati stor itu sudah beroperasi sejak April lalu dan pernah diserbu oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) pada minggu lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan untuk melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan denda sebanyak RM3 juta atau lima tahun penjara atau kedua-duanya bagi kesalahan berulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 2:05 PM