Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal pembelian enam kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sudah dibawa ke peringkat Kabinet hari ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, keputusan berkaitan penubuhan RCI adalah bergantung kepada keputusan perbincangan dalam Jemaah Menteri.

Menurutnya, cadangan itu masih dalam perbincangan membabitkan semua pihak khususnya menteri dan beliau tidak boleh mendedahkan apa yang dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri itu.

"Tetapi ia (hasil perbincangan) mesti juga dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan pandangan baginda.

"Banyak perkara mengenai isu RCI dan LCS dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, perbincangan itu mungkin akan berlanjutan hingga ke mesyuarat akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pertahanan 2022 dan Sambutan Jubli Emas Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Ke-50 di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Hishammuddin turut meminta semua pihak tidak hanya menumpukan kepada isu penubuhan RCI saja kerana kerajaan juga kini dalam proses menyahklasfikasi laporan audit berkait isu LCS.

"Proses mobilisasi untuk melihat ke hadapan projek ini sedang berjalan rancak sekarang, isu yang dibangkitkan dalam beberapa hari kebelakangan ini, sibuk kita menjawabnya dalam semua platform dengan semalam di Dewan Negara, itu semua akan diteruskan," katanya.

Semalam, Hishammuddin memberi jaminan untuk membawa perkara mengenai penubuhan RCI berkait skandal perolehan LCS ketika menggulung perbahasan usul berkaitan projek itu di Dewan Negara.

Usul itu dikemukakan Senator Lim Hui Ying mengikut Peraturan Mesyuarat 17 (1) berkaitan isu berkepentingan awam yang perlu dibahaskan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 6:31 PM