GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Pemilik ladang digalakkan memberi latihan semula dan peningkatan kemahiran dalam kalangan pekerja warga tempatan sebagai penyelesaian jangka panjang bagi isu kekurangan pekerja ladang.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pemilik ladang juga perlu mengamalkan pengurusan tenaga buruh dengan baik, iaitu elemen penting bagi mengekalkan pekerja asing digaji mereka.

Beliau berkata, kementeriannya sedia maklum kebimbangan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berhubung risiko negara kehilangan hasil sehingga RM21 bilion pada 2021 dan ia dijangka meningkat kepada RM28 bilion pada tahun ini sekiranya pekerja asing tidak dibawa masuk dengan segera.

Katanya, isu kekurangan pekerja asing bermula susulan penutupan sempadan negara disebabkan pelaksanaan beberapa peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19 memuncak.

"Ini sekaligus menjejaskan proses menuai hasil di ladang-ladang seluruh negara.

"Kementerian pada masa sama turut menyambut baik persetujuan dilakukan Indonesia yang membenarkan semula kemasukan pekerjanya ke Malaysia berkuat kuasa 1 Ogos 2022 lalu. Ia dilakukan selepas menarik balik sekatan sebelum ini yang dibuat susulan kebimbangan isu berkaitan hak-hak pekerja warganegaranya.

"Bagi mempermudahkan proses pengambilan pekerja asing, KPPK sedar bahawa proses itu perlu dilaksanakan dengan berkesan dan lengkap.

"Sehubungan itu, pihak kementerian berharap proses berkenaan diselaraskan secara berperingkat kepada platform digital sepenuhnya dan seboleh-bolehnya tanpa membabitkan penggunaan tenaga manusia," katanya tadi.

Pada masa sama, Zuraida berkata, dasar pengurusan tenaga buruh yang baik bukan sahaja dapat mengelakkan pekerja asing digaji melarikan diri, malah ia juga membolehkan majikan mengelakkan risiko terbabit dalam isu-isu berkaitan buruh paksa dan pemerdagangan manusia.

Beliau berkata, isu berkaitan buruh paksa dan pemerdagangan manusia boleh menjejaskan urusan eksport bagi tempoh jangka masa panjang.

"Kementerian tidak akan berkompromi dalam isu-isu berkaitan buruh paksa di dalam negara serta Malaysia akan terus mematuhi garis panduan ditetapkan dalam Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

"Bahkan, kementerian terus menyokong Pelan Tindakan Nasional Berhubung Buruh Paksa (NAPFL) yang dibangunkan dalam usaha menangani serta membasmi isu buruh paksa dalam negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 3:37 PM