Lelaki warga Myanmar yang mencampak tiga anaknya dari lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dipercayai mempunyai masalah mental.
Lelaki warga Myanmar yang mencampak tiga anaknya dari lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dipercayai mempunyai masalah mental.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Lelaki warga Myanmar yang mencampak tiga anaknya dari jejambat di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Kepong, di sini, semalam, pernah mengugut untuk membunuh diri.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, perkara itu didedahkan oleh isteri lelaki berkenaan berusia 28 tahun yang hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, petang semalam.

"Berdasarkan keterangan wanita yang juga warga Myanmar itu, dia memaklumkan suaminya mempunyai masalah mental selepas dijangkiti Covid-19 kira-kira setahun lalu.

"Sejak itu, lelaki berkenaan dilihat kerap kali menyendiri dan bercakap seorang diri sehinggakan banyak kali mengugut mahu membunuh diri.

"Lelaki itu tidak bekerja dan banyak menghabiskan masa menjaga anak-anak di rumah mereka di Kepong," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beh berkata, wanita yang bekerja sebagai pembantu restoran di Kepong itu memaklumkan hanya mengetahui insiden menimpa suami dan tiga anaknya melalui laporan media tengah hari, semalam.

"Wanita itu juga ada memaklumkan ketika dia tiba di rumah mereka kira-kira jam 10 malam sehari sebelum kejadian, dia mendapati suami dan tiga anaknya tidak kelihatan.

"Dia cuba menghubungi telefon bimbit lelaki itu beberapa kali, namun panggilannya tidak berjawab," katanya.

Mengulas mengenai keadaan anak bongsu pasangan itu, beliau berkata, kanak-kanak berusia lima tahun berkenaan masih dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang.

"Menurut laporan doktor, kanak-kanak itu mengalami patah kaki serta patah tulang rusuk.

"Proses bedah siasat terhadap mayat lelaki terbabit serta dua anaknya pula dijalankan hari ini bagi mengenal pasti punca kematian untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang lelaki warga Myanmar bertindak kejam dengan mencampak tiga anaknya menyebabkan dua daripada mereka maut dalam kejadian di MRR2 dekat Kepong, di sini.

Lebih tragis apabila lelaki berusia 38 tahun itu turut terjun ke lebuh raya berkenaan pada ketinggian kira-kira 20 meter menyebabkan dia turut meninggal dunia di lokasi kejadian.

Berita berkaitan:

  • Campak dari MRR2, lelaki dan 2 kanak-kanak maut
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 3:29 PM