AMINUDDIN (dua dari kanan) melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato' Haji Abu Hassan Haji Sail, Pedas, yang terbakar Ahad lalu. FOTO Mohd Amin Jalil.
AMINUDDIN (dua dari kanan) melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato' Haji Abu Hassan Haji Sail, Pedas, yang terbakar Ahad lalu. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Rembau: Kerajaan Negeri Sembilan menyalurkan sumbangan sebanyak RM300 setiap seorang kepada 90 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato' Haji Abu Hassan Haji Sail, Pedas di sini, yang terbakar, Ahad lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bantuan itu bagi meringankan beban pelajar berikutan barangan harian seperti pakaian seragam dan beberapa peralatan sekolah hangus dalam kejadian itu.

Katanya, pihaknya juga turut menyediakan peruntukan RM30,000 bagi kerja pembersihan bangunan asrama pelajar lelaki sekolah berkenaan, yang terbakar.

"Hasil siasatan awal mendapati 90 pelajar yang terkesan dengan kejadian ini dan menyalurkan bantuan RM300 kepada mereka.

"Kita juga menerima permohonan daripada pihak sekolah untuk membantu kerja pembersihan kerana bangunan sebelah berhampiran blok yang terbakar itu perlu digunakan untuk keperluan asrama.

"Kerja membaik pulih itu perlu disegerakan supaya sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) pelajar dapat diteruskan semula.

"Bagaimanapun kerja pembersihan hanya akan dapat dimulakan selepas pihak sekolah menerima laporan penuh kejadian daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan." katanya selepas melawat sekolah berkenaan, semalam.

Difahamkan kejadian kebakaran itu adalah kali kedua berlaku di sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, pihaknya berharap Kementerian Pendidikan (KPM) dapat membaik pulih kedua-dua bangunan termasuk bangunan lama yang terbakar sebelum ini.

Beliau juga mengesyorkan kepada pihak berwajib agar dapat membuat pemeriksaan berkala terhadap sistem pendawaian elektrik di sekolah terutama yang berusia lebih 10 tahun sebagai langkah keselamatan.

"Walaupun punca kejadian kebakaran ini belum diketahui, namun sistem pendawaian harus dipantau lebih kerap oleh pihak berwajib supaya pelajar dan guru dapat menjalani sesi pembelajaran lebih kondusif dan selamat," katanya.

Dalam kejadian tengah hari Ahad lalu, bangunan asrama di tingkat tiga sekolah berkenaan yang mempunyai kira-kira 10 bilik terbakar 80 peratus, namun ia tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Susulan itu, kira-kira 600 pelajar akan menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) buat sementara waktu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 9:11 AM