BAYI lelaki berusia 10 bulan yang terperangkap dalam sebuah kereta berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba. FOTO Ihsan JBPM
BAYI lelaki berusia 10 bulan yang terperangkap dalam sebuah kereta berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba. FOTO Ihsan JBPM
Zuliaty Zulkiffli

Jitra: Pasukan bomba dipanggil untuk membantu mengeluarkan bayi lelaki berusia 10 bulan yang terperangkap dalam sebuah kereta Honda City di sebuah rumah di kawasan perumahan di daerah ini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan berhubung khidmat khas bayi terkunci dalam kereta pada jam 7.40 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Sezali Hassan tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Setibanya di lokasi, didapati bayi lelaki berusia 10 bulan itu masih terperangkap di dalam kereta jenis Honda City yang terkunci.

"Komander operasi mengarahkan anggota untuk berusaha membuka pintu kereta menggunakan peralatan khas yang dibekalkan.

"Pintu kereta itu berjaya dibuka dan bayi 10 bulan berjaya diselamatkan dan diserahkan pada keluarganya," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi tamat pada jam 8.34 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 12:11 PM