Siti Rohana Idris


Tumpat: Empat lelaki, masing-masing memiliki empat hingga 25 rekod dadah dan jenayah, ditahan atas kesalahan pecah rumah serta curi kenderaan.

Keempat-empatnya ditahan oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat melalui serbuan berasingan bermula Jumaat lalu sehingga semalam, di sekitar Kampung Kebakat di sini.

Ketua Polis Daerah Tumpat Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, suspek yang menganggotai Geng Peli Kebakat itu aktif dalam jenayah sejak awal tahun ini berikutan pembebasan ketuanya yang digelar Peli dari penjara.

"Dalam tempoh pembebasannya sejak awal tahun ini, tujuh kes pecah rumah dan curi kenderaan dilaporkan di daerah ini. Ia dipercayai dilakukan oleh kumpulan itu.

"Tangkapan dijalankan susulan laporan dibuat seorang pengadu di Kampung Kebakat berkaitan kehilangan motosikalnya pagi Khamis lalu.

"Beberapa barang kes dirampas dalam tangkapan ini. Antaranya dua kereta iaitu Mercedes Benz dan Proton Perdana yang dicuri serta digunakan dua daripada suspek untuk menjalankan kegiatan jenayah," katanya pada sidang media di PT Tumpat di sini, hari ini.

Amran berkata, turut dirampas lapan pil kuda, sebuah televisyen, komponen motosikal, komputer riba, seutas jam tangan mewah serta motosikal elektrik.

Ujian saringan air kencing dijalankan mendapati kesemua suspek positif Methampethamine.

Keempat-empatnya direman bermula semalam sehingga 21 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 379A KK.

"Kami sedang mengesan seorang lagi ahli kumpulan itu. Penahanan ahli Geng Peli Kebakat ini membolehkan kami menumpaskan kegiatan pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar Tumpat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 4:50 PM
ANGGOTA polis berjaya merampas dua kereta iaitu jenis Mercedes dan Proton Perdana yang dicuri. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA polis berjaya merampas dua kereta iaitu jenis Mercedes dan Proton Perdana yang dicuri. FOTO Nik Abdullah Nik Omar