MUHAMMAD Harith Zikri Yusnizar, 17, penunggang motosikal keempat yang maut akibat kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini. FOTO Ihsan Pembaca
MUHAMMAD Harith Zikri Yusnizar, 17, penunggang motosikal keempat yang maut akibat kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini. FOTO Ihsan Pembaca
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Seorang lagi penunggang motosikal meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, awal pagi tadi.

Ia menjadikan keseluruhan seramai empat maut dan tiga lagi masih menerima rawatan di hospital terbabit.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mangsa keempat yang meninggal dunia ialah Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17 tahun.

Katanya, Mohd Haziq bin Harris, 34, masih dirawat di zon merah akibat kecederaan di kepala manakala Muhammad Rahimi Shukor, 19 di zon kuning akibat kecederaan di muka dan kepala.

"Sementara Muhammad Shazwan Hafiz Mohd Abdul Sani, 22, juga dirawat di zon kuning akibat kecederaan di bahagian kaki, tangan dan muka.

"Kesemua mangsa yang terbabit nahas itu berasal dari Negeri Pulau Pinang dan Kedah," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan tiga penunggang motosikal yang terbabit dalam nahas itu maut di lokasi.

Mangsa yang maut itu ialah Muhamad Eizreel Muhamad Roszadi, 25, Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19, dan Mohd Syazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22, iaitu kembar kepada Mohd Syazwan Hafiz.

Mengulas lanjut Soffian berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan pada jam 4.30 pagi membabitkan laluan di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke Pusat Bandar.

Katanya, kemalangan itu membabitkan beberapa motosikal yang disyaki menyertai aktiviti lumba haram.

"Beberapa penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.

"Dalam kejadian itu, dua kenderaan jenis Perodua Myvi dan Proton Waja turut dirempuh dari arah belakang oleh kumpulan penunggang motosikal berkenaan," katanya lagi.

Menurut Soffian lagi, sebelum kejadian, pihak polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dan pasukan trafik dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Timur Laut sudah membuat rondaan awal sebagai tindakan pencegahan aktiviti lumba haram itu.

Katanya, perancangan bagi menangkap individu yang terbabit dalam lumba haram itu juga sudah diatur sebelum berlaku kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 7:38 PM