ISMAIL Sabri menghadiri reruai Didik  Tv di Karnival Jom Heboh 2022. FOTO Rohanis Shukri
ISMAIL Sabri menghadiri reruai Didik Tv di Karnival Jom Heboh 2022. FOTO Rohanis Shukri
Raja Noraina Raja Rahim


Putrajaya: "Kita tak u-turn (membuat pusingan U berhubung apungan harga ayam). Kerajaan hari ini adalah kerajaan yang mendengar pandangan rakyat," kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak mengubah keputusan tidak mengapung harga ayam di pasaran sebaliknya keputusan dimuktamadkan selepas mendengar pandangan orang ramai berhubung peningkatan kos sara hidup.

Menurutnya, apa yang penting keputusan itu menguntungkan rakyat.

"Bukannya soal pusingan U atau tidak kerana ia tak penting. Yang pentingnya apa kita buat itu memberi faedah kepada rakyat," katanya ketika ditemui pemberita selepas berkunjung ke Karnival Jom Heboh (KJH) di Anjung Floria, Presint 4 di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias, Pengerusi Kumpulan Media Prima Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud.

Mengenai keputusan kerajaan sama ada akan mengapungkan harga telur ayam, Ismail Sabri berkata, ia akan diumumkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

"Kita tunggu Menteri (Dr Ronald) nanti, kalau saya dah cakap hari ini tiada makna pengumumannya," katanya.

Semalam, Ismail Sabri dilapor berkata, kerajaan memutuskan harga ayam di pasaran negara tidak akan diapungkan, selain harga siling baharu akan diumumkan Ronald, dalam masa terdekat.

Katanya, keputusan itu adalah keprihatinan kerajaan supaya rakyat tidak dibebani tekanan berpunca kenaikan kos sara hidup ketika ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberi jaminan bekalan barangan asas di pasaran mencukupi menjelang sambutan Aidiladha.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 6:27 PM