SUASANA di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Rantau Panjang. FOTO Arkib NSTP
SUASANA di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Rantau Panjang. FOTO Arkib NSTP
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Sebanyak 4,010 kenderaan persendirian direkodkan keluar masuk di pintu sempadan Malaysia-Thailand sejak 1 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, merujuk kepada statistik, kenderaan Malaysia ke Thailand sebanyak 1,774 kenderaan, manakala kenderaan memasuki sempadan negara sebanyak 2,236 kenderaan.

Katanya, statistik berkenaan diambil melalui tiga pintu sempadan di Kelantan iaitu Stesen Kawalan Sempadan JPJ Rantau Panjang, Stesen Kawalan Sempadan JPJ Pengkalan Kubor, Tumpat dan Stesen Kawalan Sempadan JPJ Bukit Bunga, Tanah Merah.

"Daripada ketiga-tiga pintu masuk sempadan ini didapati pintu masuk sempadan Rantau Panjang mencatatkan bilangan kenderaan keluar dan masuk tertinggi sebanyak 2,350 kenderaan.

"Selain itu, turut direkodkan sejumlah 1,953 kenderaan Malaysia yang berada di Thailand sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kembali memasuki Malaysia," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Mohd Misuariberkata, dalam perkembangan sama, sebanyak 330 permohonan Permit Edaran Antarabangsa (ICP) dikeluarkan kepada kenderaan persendirian asing negara berkenaan.

"Daripada jumlah terbabit, sebanyak 285 kenderaan yang direkodkan. Manakala jenis kenderaan tertinggi yang dicatatkan adalah jenis motosikal, pikap dan kereta.

"Bagaimanapun, ICP tidak dikeluarkan kepada kenderaan asing yang bergerak dalam lingkungan dua kilometer (km) dari sempadan di ketiga-tiga pintu masuk negara," katanya.

Menurutnya, kebenaran kemasukan kenderaan persendirian asing Thailand berkenaan selaras dengan arahan pembukaan sempadan Malaysia pada 5 Mei 2022 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 6:02 PM