Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Seluas 12,400 hektar sawah padi di daerah ini, Semanggol dan Selinsing berisiko terjejas apabila bekalan air di hentikan susulan penyusutan paras air Tasik Bukit Merah.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menghentikan pengairan ke sawah padi bermula 27 Mei lalu berikutan paras takungan air Tasik Bukit Merah susut ke paras bahaya.

Menurutnya, keadaan sawah padi yang diusahakan penduduk kini berusia 20 hingga ke 40 hari serta memerlukan air dalam kuantiti yang banyak dan pesawah terpaksa menakung air yang dijangka hanya dapat bertahan antara tujuh hingga 14 hari.

"Sekiranya tidak berlaku hujan dalam tempoh seminggu dua ini, sawah akan kering sekali gus memberi kesan teruk kepada 4,720 pesawah.

"Bagaimanapun kerajaan ada peruntukkan atau bantuan khas sekiranya perkara ini berlaku," katanya ditemui media selepas Program Solat Sunat Hajat dan Solat Sunat Istisqa di Pusat Imformasi Empangan Bukit Merah, hari ini.

Dalam program itu lebih 100 penduduk mengambil bahagian dan turut disertai oleh Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri dan Pegawai Pertanian Daerah Kerian, Riduan Othman.

Ditanya mengenai pembenihan awan, Razman berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepada Menteri Besar Perak dan pihaknya mengharapkan ia dapat dilakukan segera dalam minggu ini.

Sementara itu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Parit Air Itam, Siap Jeraai, berkata sudah tiba masanya kerajaan menyegerakan perancangan pembinaan terowong air dari Sungai Perak.

Menurutnya, cadangan pembinaan itu sebenarnya telah berlarutan beberapa tahun lalu namun belum ada kata putus.

"Setiap kali berlaku penyusutan air di tasik ini hingga ke paras kritikal, skripnya sama iaitu kerajaan akan membuat terowong saluran air dari Sungai Perak.

"Jika tiada penyelesaian yang menanggung akibatnya adalah pesawah. Mana kami nak cari air? Saban tahun pesawah akan menanggung rugi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 4:06 PM
Air pada aras kritikal di Empangan Bukit Merah, ketika dirakamkan berhampiran Kampung Selamat, Simpang Empat Semanggol di sini. FOTO DANIAL SAAD
Air pada aras kritikal di Empangan Bukit Merah, ketika dirakamkan berhampiran Kampung Selamat, Simpang Empat Semanggol di sini. FOTO DANIAL SAAD