DATUK Seri Abdul Rahman Mohamad
DATUK Seri Abdul Rahman Mohamad
Asrol Awang


Kuala Lipis: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi agensinya iaitu Risda dan Felcra Berhad memperuntukkan sejumlah RM80 juta untuk menjamin bekalan makanan dan sekuriti makanan negara supaya terus kekal terjamin bagi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Timbalan Menteri I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, menerusi peruntukan tersebut, agensi KPLB akan mengambil inisiatif untuk memperkembang dan mengukuhkan gedung makanan utama negara terutama dalam industri penternakan dan perladangan.

Katanya, kementerian itu memberi keyakinan kepada Felcra Berhad untuk melaksanakan projek ternakan berjumlah RM60 juta dalam Rancangan Malaysia ke-12 bagi menjalankan aktiviti ternakan ayam pedaging secara sistem tertutup.

"Felcra Berhad dijangka mampu menghasilkan sebanyak 600,000 ekor ayam daging bagi satu pusingan atau setiap 35 hari sekaligus menjadikan Felcra Berhad sebagai salah satu pemain utama industri penternakan ayam pedaging secara sistem tertutup dengan skala besar di Tanjung Seratus, Rompin, Pahang.

"Projek yang dilaksanakan oleh Felcra Berhad ini dengan pengeluaran ayam berkualiti dan halal selain menyediakan dan membuka peluang pekerjaan selain merancakkan industri dan perniagaan berasaskan ayam pedaging.

"Berdasarkan kepada data yang dikeluarkan oleh Jabatan Veterinar Malaysia, purata keperluan ayam di Malaysia adalah 2.09 juta ekor ayam sehari atau 62.9 juta ekor ayam sebulan," katanya.

Abdul Rahman berkata demikian pada Program Komuniti Sejahtera Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Menteri 1 KPLB dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Lipis di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan ketua jabatan agensi KPLB.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, Risda pula menerima peruntukan berjumlah RM20 juta bagi Program Agromakanan membabitkan 1,000 peserta di seluruh negara.

Katanya, Program Agromakanan itu adalah strategi pembangunan untuk mengoptimumkan penambahan pendapatan pekebun kecil sama ada secara individu atau berkumpulan dan dalam masa yang sama memastikan bekalan makanan negara berada pada tahap yang selamat.

"Bagi memenuhi keperluan keperluan daging lembu di Malaysia pula, Risda menerusi syarikat milikannya Risda Livestock Sdn Bhd (RLSB) melaksanakan integrasi fidlot ternakan lembu bagi meningkatkan keluaran daging tempatan berstatus halal.

"Selaras untuk menyokong dasar keselamatan makanan negara, RLSB menyasarkan sebanyak 6,000 ekor lembu dapat diproses bagi menampung keperluan makanan negara pada tahun ini dan akan dipertingkat kepada 10,000 ekor setahun sekaligus mengurangkan kebergantungan sumber bekalan daging import," katanya.

Menerusi Program Agromakanan 2022 hingga 2030, Abdul Rahman berkata, RLSB mensasarkan peningkatan pengeluaran daripada kadar tujuh peratus kepada 30 peratus kadar pengeluaran daging negara.

Selain itu, katanya, RLSB juga bersedia untuk mengimport daging dari luar negara bagi memenuhi keperluan makanan untuk rakyat Malaysia selaras dengan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pemansuhan permit import (AP) bekalan makanan untuk negara.

Selain itu, beliau berkata, pelbagai usaha dilaksanakan oleh agensi di bawah KPLB ini bagi menyokong dan memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

Katanya, antara projek yang dilaksanakan adalah Projek Tanaman Fertigasi yang dijadikan sebagai aktiviti penambahan pendapatan peserta kepada Pertubuhan Wanita Dinamis FELCRA (WADIRA) dan golongan belia.

"Setiap pertubuhan ini akan menerima insentif berbentuk start-up grant serta konsultansi. Projek ini turut memfokuskan kepada pembekalan keperluan makanan kepada masyarakat setempat membuka peluang pekerjaan.

"Projek dilaksanakan sejak tahun 2019 ini akan dilaksanakan secara lebih komprehensif dan di seluruh Malaysia. Sehingga kini, projek ini memberikan impak positif di mana 35 buah projek telah membuahkan hasil dan beroperasi tanpa gagal," katanya.

Beliau berkata, antara projek yang mampu berdaya saing serta mempunyai kadar penghasilan bekalan makanan adalah projek Tembeling Tengah, Durian Hijau, Sri Makmur Dan Pahang Tenggara yang ditanam dengan tanaman timun, cili besar, cili api dan halia dengan purata hasil bagi projek itu antara RM10,000 dan RM12,000 per projek.

"KPLB turut menyediakan latihan dan kursus jangka pendek untuk orang ramai menceburi bidang pertanian seperti Kolej Universiti Agrosains Malaysia di bawah Risda selain institusi lain di bawah agensi KPLB," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 5:02 PM