Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari (dua dari kanan) berbual mengenai kawalan lalu lintas di laluan jip pada sidang media Pelaksanaan Peraturan-peraturan Perbadanan Bukit Bendera (Kawalan Lalulintas 2022) di Taman Botani di sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari (dua dari kanan) berbual mengenai kawalan lalu lintas di laluan jip pada sidang media Pelaksanaan Peraturan-peraturan Perbadanan Bukit Bendera (Kawalan Lalulintas 2022) di Taman Botani di sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Pemilik kenderaan yang menaiki Bukit Bendera menerusi laluan jip bakal berdepan tindakan kompaun serta dibawa ke mahkamah sekiranya didapati tidak memiliki kebenaran atau permit.

Tindakan itu diambil bagi memastikan kenderaan yang mempunyai permit sahaja menaiki laluan berkenaan bagi mengelak kemalangan serta kesesakan lalu lintas di atas Bukit Bendera.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, bagi menangani kemasukan kenderaan tanpa permit Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) melaksanakan kawalan secara fizikal dengan pemasangan palang automatik serta pondok kawalan trafik dengan sistem pemantauan kamera litar tertutup (CVTV).

Katanya, PBBPP akan memberi kad akses kepada pemilik kenderaan yang terdiri daripada penduduk, peniaga, kontraktor, pembekal, agensi kerajaan serta mereka yang mempunyai permit bagi naik ke laluan itu.

"Antara usaha lain bagi memastikan kelancaran trafik di laluan dan sekitar kawasan atas Bukit Bendera ialah dengan diletakkan papan tanda notis peringatan had laju di sepanjang laluan jip berkenaan.

"Selain itu penyediaan kawasan tempat letak kereta dan motosikal, menghadkan kawasan yang boleh dimasuki, pengubahsuaian segi tiga ke bulatan pemasangan 'bollard' ke kawasan tumpuan utama serta penetapan waktu bagi meletak dan memunggah barang," katanya ketika sidang media Pelaksanaan Peraturan-peraturan Perbadanan Bukit Bendera (Kawalan Lalulintas 2022) di Taman Botani di sini, hari ini.

Menurut Zairil lagi, PBBPP juga bercadang bagi mewujudkan Seksyen Pengurusan Trafik Bukit Bendera dalam membuat pemantau peraturan supaya tiada pihak yang menyalahgunakan permit serta melanggar peraturan.

Maklumat borang permohonan permit masuk boleh dimuat di laman sesawang https://corporate.penanghill.gov.my/index.php/ms/permohonan-permit-masuk... atau boleh didapati di Pejabat PBBPP semasa waktu pejabat.

Sementara itu Pengurus Besar PBBPP, Datuk Cheok Lay Leng berkata, sehingga kini sebanyak 10 kes kemalangan membabitkan kenderaan tanpa permit yang melalui laluan jip itu selain spesifikasi kenderaan yang tidak sesuai bagi laluan berbukit.

Katanya, insiden kemalangan seumpamanya menyebabkan penduduk Bukit Bendera menghadapi kesukaran menggunakan laluan itu bagi pulang ke rumah masing-masing.

"Terdapat juga kes yang mana berlaku insiden lori melebihi 10 tan terbalik dipercayai pemandunya tidak mahir atau tidak mempunyai pengalaman mengendalikan kenderaan di kawasan berbukit, jadi sebagai alternatif bagi menyelesaikan isu ini kita laksanakan pemasangan palang automatik dan lain-lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 1:04 PM