LELAKI warga India cedera di kepala selepas terjatuh di air terjun Taman Rimba Kanching, Rawang, hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
LELAKI warga India cedera di kepala selepas terjatuh di air terjun Taman Rimba Kanching, Rawang, hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
Nurul Hidayah Bahaudin


Rawang: Keseronokan lelaki warga India mandi-manda di air terjun Taman Rimba Kanching, di sini, bertukar tragedi selepas dia cedera di kepala akibat terjatuh, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 2.31 petang.

"Seramai enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat seorang lelaki warga India berusia 29 tahun cedera di bahagian kepala akibat terjatuh di air terjun berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, mangsa dibawa keluar oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

"Difahamkan mangsa datang ke lokasi berkenaan untuk mandi-manda dan mungkin dia memanjat batu di air terjun berkenaan sebelum tergelincir lalu terjatuh.

"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 6:14 PM