SARAVANAN bergambar bersama penerima geran. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
SARAVANAN bergambar bersama penerima geran. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Malaysia komited dalam menangani isu buruh paksa di negara ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Berikutan itu, beliau berkata, kementerian meminta Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Kedutaan Amerika Syarikat untuk memaklumkan kepada pihak berkaitan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang siasatan berkaitan hal berkenaan.

Menurutnya, hal itu sudah dimaklumkan kepada pihak ILO dan Kedutaan Amerika Syarikat dalam satu pertemuan baru-baru ini.

"Sebelum ini saya menghadapi kesukaran kerana beberapa produk keluaran Malaysia diharamkan atas faktor buruh paksa, namun sehingga kini tidak menerima sebarang maklumat lanjut berkaitan siasatan berkenaan.

"Jadi ia menyukarkan pihak kementerian untuk mengambil tindakan terhadap majikan (yang mempunyai buruh paksa). Walaupun saya sudah menjalankan siasatan mengikut 11 indikator sedia ada, namun kita masih lagi tidak dapat mengesan dimanakah kesalahan mereka (majikan) ini.

"Disebabkan itu saya sudah berjumpa dengan ILO dan kedutaan Amerika Syarikat dan memaklumkan kepada mereka sebarang siasatan oleh pihak mereka perlu dimaklumkan kepada kita sebelum menyekat mana-mana produk di negara ini, jika tidak sampai bila masalah ini tidak akan selesai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Geran Pembangunan Kesatuan Sekerja dan Pelancaran Buku Perkembangan dan Isu-isu Kesatuan Sekerja di Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Saravanan turut menyeru kesatuan sekerja untuk memberi sokongan kepada kerajaan dalam urusan pindaan Akta Kesatuan Sekerja.

Beliau berkata, pindaan berkenaan penting kerana ia mewujudkan kerangka perundangan yang menyokong penubuhan dan pentadbiran kesatuan sekerja yang matang, progresif dan relevan.

"Rang Undang-Undang Kesatuan Sekerja Pindaan 2022 sudah dibawa ke Parlimen bagi bacaan kali pertama pada 24 Mac lalu dan bacaan kedua dijadualkan pada sesi mesyuarat Parlimen akan datang," katanya.

Sementara itu, mengenai buku yang dilancarkan itu, Saravanan berkata terbitan berkenaan akan menjadi sumber rujukan kepada majikan, pengamal sumber manusia dan aktivis kesatuan sekerja serta rujukan akademik di institusi pengajian tinggi.

Penerbitan buku itu adalah hasil kerjasama antara Kesatuan Sekerja dan ahli akademik dengan menggunakan peruntukan Geran Pembangunan Kesatuan Sekerja 2021.

"Walaupun buku itu membicarakan mengenai kesatuan sekerja secara khusus namun ia tetap relevan dalam konteks membangun dan menguruskan sumber manusia dengan lebih berkesan," katanya.

Beliau turut memaklumkan, kerajaan menambah peruntukan Geran Pembangunan Kesatuan Sekerja tahun ini kepada RM2.6 juta dalam membantu lebih banyak kesatuan sekerja menjalankan latihan dan kini sejumlah 315 permohonan sudah diluluskan di seluruh negara.

Katanya bagi Geran Pembangunan Kesatuan Sekerja Zon Tengah yang meliputi Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, sejumlah 74 permohonan telah diluluskan dengan nilai sebanyak RM472,840.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 8:17 PM