GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Di sebalik keghairahan pulang ke kampung untuk berhari raya tahun ini, orang ramai dinasihatkan memastikan kenderaan berada dalam keadaan terbaik.

Ini kerana ramai yang mungkin tidak sedar bahawa kenderaan mereka sebelum ini jarang digunakan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 2020.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK), Fahami Ashrof Badaruddin berkata, ia antara elemen penting bagi memastikan perkara kecil seperti pemeriksaan pad brek, takat minyak enjin dan angin tayar berada dalam keadaan baik.

"Isu ini nampak remeh, tetapi ramai dari kita hanya menyedarinya apabila kenderaan rosak. Kadang-kadang enjin meragam disebabkan kita tidak periksa minyak enjin, radiator dan lain-lain.

"Ada juga kes di mana pemilik kenderaan merasakan kereta mereka dalam keadaan baik, namun mereka lupa sewaktu PKP, kereta itu tidak digunakan langsung. Ini tentu memberi kesan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, PPJK juga menasihatkan pengguna jalan raya untuk bersedia dengan kemungkinan masa perjalanan yang panjang dengan jangkaan lebih ramai akan menggunakan kesempatan untuk pulang berhari raya di kampung masing-masing.

Katanya, merancang perjalanan lebih awal adalah perlu memandangkan cuti perayaan yang lebih panjang daripada biasa pada tahun ini.

"Soal merancang perjalanan ini bukan perkara baru, tetapi apa yang ingin kita tekankan ialah sebaik-baiknya jangan buat keputusan saat akhir, sebaliknya rancang lebih awal.

"Emosi ketika memandu memang penting. Jadi kita sarankan agar semua pengguna tidak gopoh dalam pemanduan. Jangan tahan mengantuk, sebaiknya berhenti di kawasan yang disediakan dan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 9:03 PM