Allahyarham Muhammad Adib
Allahyarham Muhammad Adib
Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Nota kepada Kabinet mengenai laporan Jawatankuasa Khas Siasatan Kes Kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim akan diserahkan tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau sudah menyediakan nota itu.

"Nota itu berdasarkan laporan interim daripada Jawatankuasa Khas Teknikal Kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang sudah dibentangkan kepada saya selaku pengerusi jawatankuasa khas siasatan," katanya.

Pada 15 Mac lalu, Jawatankuasa Khas Teknikal Kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim membentangkan laporan interim mengenai kes kematian anggota bomba berkenaan, yang mana disiapkan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh jawatankuasa itu ditubuhkan.

Wan Junaidi berkata, siasatan oleh jawatankuasa terbabit masih berjalan, malah beberapa cadangan dikemukakan termasuk memanggil saksi yang sudah kembali ke negara asalnya di Pakistan.

Selain itu, katanya, pihak itu juga masih mengumpul beberapa bukti termasuk koleksi video dan gambar kejadian.

"Sebab itu bulan lalu kita minta kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau bukti bergambar serta video kejadian bagi membantu kita melengkapkan lagi siasatan," katanya.

Beliau menjelaskan hasil laporan itu akan diumumkan apabila diterima Kabinet, kelak.

"Pada masa ini saya tidak boleh dedahkan apa dapatan jawatankuasa dan kita masih ada baki masa siasatan sebelum tempoh enam bulan siasatan itu tamat," katanya

Penubuhan Jawatankuasa Khas Siasatan itu dipersetujui pada 8 Disember tahun lalu, dengan mesyuarat pertama diadakan pada 21 Disember.

Jawatankuasa Khas Siasatan juga bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Teknikal yang dapat membantu dalam proses 'fact finding'.

Laporan Akhir akan dikemukakan kepada kerajaan dalam masa enam bulan dari tarikh penubuhannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 4:02 PM