ABD Jalil. FOTO Arkib NSTP
ABD Jalil. FOTO Arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: "Semua mangsa (penipuan) kini dalam keadaan selamat dan ditempatkan di Phnom Penh, Kemboja sementara menunggu penerbangan pulang ke Malaysia," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

Abd Jalil memberi reaksi itu berhubung situasi terkini 16 rakyat Malaysia yang berjaya diselamatkan di wilayah Preah Sihanouk, Kemboja, Selasa lalu, selepas diperdaya sindiket penipuan pekerjaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, semua mereka diselamatkan pihak berkuasa negara itu dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Polis Antarabangsa (Interpol), Polis Asean (Aseanapol) dan Kementerian Luar Negeri.

"Warga Malaysia yang diselamatkan berusia 19 hingga 43 tahun terdiri dari 15 lelaki dan seorang wanita.

"Semua mangsa mendakwa diperdaya dengan peluang pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan di Kemboja dengan gaji yang lumayan menerusi aplikasi Facebook," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Abd Jalil berkata, semua rakyat Malaysia yang diperdaya sindiket berkenaan dipaksa bekerja sebagai 'scammer'

Beliau berkata, segala kos perbelanjaan ditanggung pihak syarikat yang didalangi sindiket berkenaan namun setiba mereka di sana, dokumen perjalanan mereka dirampas, pergerakan dikawal dan turut dikurung.

"Selepas tiba di lokasi yang dijanjikan mangsa menyedari ditipu dan pekerjaan sebenar mereka adalah 'scammer'," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap tawaran kerja dengan gaji tinggi di luar negara bagi mengelakkan dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.

"PDRM mengalu-alukan maklumat dari masyarakat mengenai sindiket memperdayakan warga Malaysia dan memaksa menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang," katanya.

Berita berkaitan

16 rakyat Malaysia ditahan di Kemboja - Saifuddin [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 10:39 PM