Aizat Sharif


Kangar: Kehadiran Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara di sekitar kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Perlis dijangka dapat membantu kawalan keselamatan menjelang pembukaan semula sempadan negara pada 1 April hadapan.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, dengan bermulanya fasa endemik pada 1 April ini, polis di Perlis bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan apabila bermulanya pembukaan kembali sempadan negara di negeri itu.

"Kita yakin apa yang kita ada sekarang terutama dari segi kekuatan anggota terutama dari pihak PGA dari Batalion 2 banyak akan membantu dari segi kawalan keselamatan.

"Malah, dari segi jenayah penyeludupan terutama daun ketum dan dadah jenis ganja dan syabu pula dilihat banyak berlegar di kawasan laut ketika ini disebabkan kawalan kita di sempadan darat ini lebih kukuh selepas kita begitu memperketatkan sempadan darat negeri ini," katanya ketika ditemui selepas Sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 Peringkat Kontinjen Perlis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya sedar dengan pembukaan sempadan ini, penyeludup akan mengambil kesempatan berkenaan untuk terus menggunakan 'laluan tikus' yang wujud di sekitar kawasan sempadan antarabangsa di negeri ini.

Surina ketika ditemui di Sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 hari ini. FOTO AIZAT SHARIF
Surina ketika ditemui di Sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 hari ini. FOTO AIZAT SHARIF

"Laluan penyeludup ini tetap sama dan sudah wujud sebelum berlakunya pandemik Covid-19 jadi apa yang kita buat adalah kawalan seperti biasa daripada pihak PGA.

"Namun begitu, kita menjangkakan kemasukan yang banyak dari negara jiran menggunakan laluan darat di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (KIK) akan berlaku apabila sempadan itu dibuka nanti," katanya.

Sementara itu, dalam sambutan majlis berkenaan, Surina menyampaikan anugerah dan sijil penghargaan kepada 56 individu yang terdiri daripada anggota polis, kakitangan awam serta masyarakat yang banyak membantu polis dalam menumpaskan kegiatan jenayah di negeri itu.

Dalam masa yang sama juga, empat pengamal media Perlis termasuk dari Harian Metro menerima sijil penghargaan dari Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew semasa sambutan majlis berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 12:46 PM