ISMAIL Sabri. FOTO Aizuddin Saad
ISMAIL Sabri. FOTO Aizuddin Saad
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kerajaan Malaysia menegaskan tidak akan melayan sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak berkenaan negeri Sabah.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan kekal dengan pendirian Sabah sudah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia sejak 16 September 1963.

"Kerajaan Malaysia memandang serius isu kedaulatan negara termasuk kedaulatan dan keutuhan negeri Sabah dalam Malaysia.

"Tuntutan oleh pihak yang mengaku sebagai waris kepada Sultan Sulu terhadap kerajaan Malaysia melalui satu prosiding timbang tara (arbitration) antarabangsa adalah tidak sah dan melanggar undang-undang.

"Ini adalah kerana pelantikan penimbang tara Dr Gonzalo Stampa sudah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Madrid pada 29 Jun tahun lalu yang mengakibatkan semua keputusan yang dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa adalah tidak sah, termasuk Final Award yang dikeluarkan pada 28 Februari 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, walaupun pelantikan Dr Stampa sudah dibatalkan tetapi individu itu tidak mengendahkan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid dengan memindahkan tempat timbang tara ke Paris, Perancis dan meneruskan prosiding timbang tara sehinggalah beliau mengeluarkan Final Award berkenaan.

"Bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan Malaysia terpelihara, kerajaan sudah memfailkan permohonan untuk membatalkan Final Award ini pada 3 Mac lalu di Mahkamah di Paris, Perancis.

"Ini bagi memastikan keputusan Final Award berkenaan tidak boleh dikuatkuasakan oleh penuntut pada bila-bila masa dan di mana-mana negara dan supaya Malaysia tidak perlu membayar wang pampasan sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) seperti yang dituntut," katanya.

Ismail Sabri berkata, dalam hal itu, kerajaan Malaysia tetap komited untuk menyelesaikan isu ini secara tuntas dan muktamad.

"Adalah ditekankan kerajaan Malaysia tidak akan berganjak walau seinci pun dalam menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara dan kedudukan Sabah dalam Malaysia akan dipertahankan untuk selama-lamanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 1:30 PM