Hishammuddin Tun Hussein
Hishammuddin Tun Hussein
Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Calon Barisan Nasional (BN) yang menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu membuktikan moto dan tekad 'Kestabilan Demi Masa Depan' yang dilaungkan sepanjang kempen, bukan hanya omongan kosong.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, politik amal dan bakti yang ditekankan Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad wajar dijadikan asas memenuhi moto berkenaan.

Beliau yang juga Bendahari Barisan Nasional (BN) bersyukur kerana mandat dan kepercayaan rakyat dikembalikan kepada BN selepas kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Terima kasih kepada semua pengundi di Johor yang memilih BN. Kepada semua calon BN yang menang, amanah rakyat Johor kini di atas bahu masing-masing.

"Ini bukan masa bersuka ria. Pikullah amanah besar ini dengan ikhlas, jujur dan bersungguh-sungguh demi kepentingan rakyat serta negeri Johor," katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, lewat malam tadi.

Ahli Parlimen Sembrong itu turut berterima kasih kepada jentera BN di seluruh Johor.

Dalam pada itu, calon BN, Lee Ting Han yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Paloh berazam bersama-sama membangunkan Paloh dalam masa lima tahun akan datang.

Beliau bertekad melaksanakan segala janji dan berterima kasih atas segala-galanya terutama bagi setiap undi yang cukup bermakna daripada warga Paloh.

"Pertamanya, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan kepada saya sepanjang kempen ini. Terima kasih atas sikap mesra dan senyuman manis daripada orang Paloh," katanya.

Lee memperoleh 8,077 undi menewaskan penyandang kerusi itu daripada Pakatan Harapan (PH), Sheikh Umar Bagharib Ali, yang meraih 4,901 undi, calon Perikatan Nasional (PN), V Selvendran (1,512 undi) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Aminudin Johari (181 undi).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 2:23 PM