STRUKTUR pondok yang dipercayai menjadi lokasi persinggahan penjenayah rentas sempadan di perairan Hammerhead di Lahad Datu. FOTO Ihsan ESSCOM
STRUKTUR pondok yang dipercayai menjadi lokasi persinggahan penjenayah rentas sempadan di perairan Hammerhead di Lahad Datu. FOTO Ihsan ESSCOM
Juwan Riduan

Lahad Datu: Empat pondok tidak berpenghuni di perairan Hammerhead di sini, yang dipercayai menjadi lokasi persinggahan penjenayah rentas sempadan diroboh Sabtu lalu.

Perobohan dijalankan pada Op Gasak Laut membabitkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Operasi turut disertai Pejabat Daerah, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Pendaftaran Negara, Angkatan Pertahanan Awam dan Pejabat Kesihatan Lahad Datu.

Komander Esscom Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, pondok itu dipercayai dijadikan tempat persinggahan penjenayah rentas sempadan membabitkan jenayah penculikan, rompakan dan penyeludupan di perairan Zon Selamat Sabah Timur (Esszone).

"Pada operasi itu, 18 pondok di kawasan tanah kerajaan diperiksa dan 14 daripadanya didapati berpenghuni. Penghuni kemudiannya diberikan notis untuk keluar dari kawasan berkenaan.

"Pada operasi sama, 63 individu diperiksa namun tiada tangkapan dibuat," katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Hamzah berkata, Op Gasak Laut diadakan untuk mengambil tindakan ke atas pondok haram yang didirikan di sekitar daerah ini

Katanya, pada operasi sama, pihaknya juga memastikan setiap struktur yang dibina mempunyai lesen atau kebenaran daripada pihak berkuasa.

"Operasi seumpama ini akan terus dilaksanakan di daerah lain dalam kawasan Esszone.

"Tindakan ini adalah bagi memastikan setiap struktur yang dibina tidak disalahgunakan oleh penjenayah," katanya.

Sehubungan itu, Hamzah menasihati pemilik struktur mendapatkan kebenaran atau lesen untuk pondok yang dibina supaya tidak dikenakan tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 2:53 PM