MOTOSIKAL yang terbakar di PPR Intan Baiduri, Kuala Lumpur dalam kebakaran, awal pagi hari ini. FOTO Ihsan Bomba
MOTOSIKAL yang terbakar di PPR Intan Baiduri, Kuala Lumpur dalam kebakaran, awal pagi hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 50 motosikal dan empat kereta yang diletakkan di kawasan parkir sebuah blok di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, di sini, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 4.22 pagi.

"Seramai 15 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang dan BBP Gombak Selatan dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan deretan 50 motosikal dan empat kereta yang diletakkan di kawasan parkir berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pasukan bomba mengambil masa kira-kira tujuh minit bagi mengawal kebakaran itu menggunakan dua aliran bantu mula.

"Semua motosikal serta kereta terbabit didapati terbakar 100 peratus. Tiada kemalangan jiwa dan mangsa dilaporkan dalam kejadian ini.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 10:29 AM