Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption di Bagan Dalam, di sini, yang berusia hampir sembilan dekad, akhirnya ditutup sebaik selesai sesi persekolahan penggal 2021/2022, hari ini.

Terdahulu, pelbagai usaha dilakukan beberapa pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi mengekalkan bangunan sekolah itu supaya dapat dapat terus beroperasi, namun terpaksa akur dengan keputusan ditetapkan.

Tinjauan hari terakhir di sekolah itu mendapati suasana sedikit hiba dengan guru sibuk mengemas barangan mereka untuk dibawa pulang ke rumah dan aktiviti menurunkan bendera sekolah turut dilakukan.

Difahamkan, sesi persekolahan hari ini hanya dihadiri murid Tahun Enam memandangkan murid Tahun Satu hingga Lima sudah disuraikan ke sekolah berdekatan sejak Isnin lalu.

Suasana hari terakhir sesi persekolahan 2021/2022 ketika tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption, Butterworth di sini. FOTO DANIAL SAAD
Suasana hari terakhir sesi persekolahan 2021/2022 ketika tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption, Butterworth di sini. FOTO DANIAL SAAD

Murid Tahun Enam, Muhammad Arfan Salim, 13, berkata walaupun dia akan masuk ke sekolah menengah pada penghujung Mac depan, dia turut sedih apabila tidak lagi boleh melawat bekas sekolah serta guru yang mendidiknya sepanjang enam tahun di situ.

"Memang saya tidak akan belajar di sekolah ini kerana sudah masuk ke sekolah menengah, tetapi bila ingat sekolah ini tiada lagi selepas ini, perasaan tu cukup sedih.

"Selama enam tahun belajar dekat sini dengan guru sangat baik dan memahami membuatkan saya sebak kerana susah nak berjumpa mereka lagi tambahan pula sekolah ini tidak akan beroperasi lagi," katanya.

Sementara itu, bekas Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Mohd Aminuddin Baqy Mohd Noor berkata, dia memohon maaf kepada semua ibu bapa serta bekas murid kerana tidak mampu mempertahankan sekolah itu supaya terus beroperasi.

"Sedih dan kecewa. Itu yang saya dapat katakan tetapi terpaksa akur dengan keputusan sudah ditetapkan.

"Pelbagai usaha dilakukan sebelum ini tetapi keputusan tetap sama. Memang pada awalnya harapan sudah tipis, tetapi kita cuba sehingga habis yang kini semua perlu menerimanya dengan reda," katanya.

Menurutnya, dia bertambah kecewa kerana tidak dapat mempertahankan sekolah itu memandangkan bekas Yang Dipertua PIBG terdahulu mampu mengekalkannya sehingga usia sekolah mencecah hampir sembilan dekad.

Media sebelum ini melaporkan, sekolah itu bakal ditutup pada 28 Februari ini berikutan lesen sekolah akan dibatalkan kerana pemilik tanah persendirian (Sri Avenue Sdn Bhd) meminta tanah dan bangunan dikembalikan 'secepat mungkin'.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 5:22 PM