Asrol Awang


Kuantan: Seorang daripada dua penjenayah yang melarikan diri selepas melanggar mati seorang penunggang motosikal dan mencuri sebuah kereta di Kilometer 269 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Kemaman, Terengganu kelmarin, ditahan hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek berumur lingkungan 20-an itu ditahan bersama seorang rakan di sebuah homestay di Jaya Gading, di sini, dalam Ops Sarang Khas - Jihad Dadah, hari ini.

Katanya, rakan suspek yang ditahan di homestay itu tidak terbabit dalam kes kemalangan maut dan langgar lari.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta yang digunakan suspek, polis merampas dadah jenis methamphetamine seberat 55.2 gram dan syabu seberat 5.14 gram.

"Penahanan suspek hasil daripada Ops Sarang Khas yang dilaksanakan bermula awal pagi hingga 12 tengah hari, hari ini.

"Suspek bersama rakannya ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Ops Sarang Khas - Jihad Dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari kelmarin, dua suspek yang menaiki Perodua Myvi melanggar seorang penunggang motosikal di Kilometer 269 LPT2 dekat Cheneh, Kemaman sehingga menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.

Kedua-dua suspek melarikan diri sebelum kereta dipandu tersadai kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

Mereka kemudian melarikan Nissan Grand Livina milik seorang lelaki yang berhenti bertanya kepada suspek mengenai tindakan mereka melarikan diri selepas melanggar mangsa.

Dalam kes terbabit, Wan Mohd Zahari berkata, polis Kuantan dan polis Kemaman akan bekerjasama.

"Kes di Kemaman itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 6:47 PM