Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Lelaki warga Iraq dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh wanita warga Somalia pada 13 Februari lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Ali Ahmed Abdullah Al-Maghazachi, 25, sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa hadapan Majistret Normaizan Rahim kerana kes bunuh mengikut bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Ali Ahmed yang juga warga Iraq didapati membunuh Dahabo Omar Ali pada 13 Februari lalu jam 11.46 pagi di hadapan sebuah premis di Jalan Memanda 1, Taman Dato Ahmad Razali, di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Terdahulu, jurubahasa terpaksa membacakan pertuduhan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia sebelum tertuduh hanya mengangguk faham.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ameera Sam Kamaruddin memohon mahkamah memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Normaizan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 9 Mei nanti dan tiada jaminan ditawarkan.

Pada 14 Februari lalu, Harian Metro melaporkan seorang lelaki warga Iraq ditahan polis selepas dipercayai menjadi suspek utama pembunuhan wanita Somalia berkenaan.

Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya jam 11.20 malam pada 13 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak dipetik berkata, suspek yang bekerja sebagai pembantu restoran ditahan di Jalan Ampang Putra, di sini, hasil risikan polis.

Menurutnya, suspek juga disahkan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Anggota Polis membawa Ali di Mahkamah Ampang. FOTO FATHIL ASRI
Anggota Polis membawa Ali di Mahkamah Ampang. FOTO FATHIL ASRI

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 2:51 PM