Mohd Amin Jalil


Seremban: Negara pengeluar getah asli iaitu Indonesia, Thailand dan Malaysia perlu sepakat bagi mengawal harga komoditi itu di pasaran antarabangsa sekali gus mengelak berlakunya lambakan pengeluaran.

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Seri Mohd Salim Sharif, berkata kerjasama itu boleh dilakukan menerusi International Tripartite Rubber Council (ITRC).

Katanya, menerusi usaha dan tindakan itu, harga getah asli di pasaran dapat dipertingkatkan sekali gus membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah.

"Ada negara melakukan lambakan getah di pasaran sehingga harga turun, sedangkan kos tenaga buruh kita berbanding mereka adalah berbeza dan taraf hidup di negara ini juga tentunya lebih tinggi.

MOHD SALIM (dua dari kanan) mengenakan pakaian seragam sekolah kepada murid keluarga asnaf dalam Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Happy To School Peringkat DUN Lenggeng di Homestay Kampung Rawa Lenggeng, hari ini. Foto Mohd Amin Jalil
MOHD SALIM (dua dari kanan) mengenakan pakaian seragam sekolah kepada murid keluarga asnaf dalam Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Happy To School Peringkat DUN Lenggeng di Homestay Kampung Rawa Lenggeng, hari ini. Foto Mohd Amin Jalil

"Oleh itu, tiga negara ini perlu memikirkan langkah supaya pengeluaran getah dikawal secara bersama dan cara ini boleh mengelakkan lambakan yang akhirnya getah sintetik menguasai pasaran.

"Saya sudah maklumkan perkara ini kepada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, supaya berbincang untuk tentukan harga kebolehpasaran iaitu minimum RM3.50 sekilogram bagi membolehkan pendapatan seisi rumah yang mempunyai kebun seluas 1.9 hektar boleh mencapai pendapatan paling minimum RM3,000 sebulan," katanya hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Salim berkata, menjadi harapan kerajaan supaya pendapatan pekebun kecil getah dapat terus ditingkatkan.

Bagaimanapun katanya, faktor harga getah yang dikawal negara pengeluar utama boleh menjadi kekangan untuk merealisasikan hasrat itu.

"Kerosakan jalan kita boleh baiki, benih kita boleh keluarkan klon yang baik dan begitu juga dengan input pertanian lain, tapi soal harga ia dikawal negara terbabit.

"Kita juga berharap negara pengeluar getah ini dapat mencapai persetujuan bersama dari segi harga getah ini.

"Walaupun Malaysia berkedudukan ke enam dunia dari segi pengeluaran getah asli, tapi kita mahu bantu rakyat menerusi komoditi ini yang menjadi asas ekonomi kepada penduduk luar bandar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 3:19 PM