FOTO hiasan
FOTO hiasan

Kuala Lumpur: Sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut minggu depan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyarankan beberapa panduan bagi memastikan peralatan elektrik dan kediaman ditinggalkan dalam keadaan selamat buat pengguna yang pulang ke kampung halaman.

TNB dalam kenyataan memaklumkan, tip keselamatan yang disarankan berikut juga bagi memastikan peralatan elektrik dan kediaman ditinggalkan dalam keadaan selamat serta jimat tenaga.

"Tutup suis peralatan elektrik yang tidak digunakan dan tanggalkan palam bagi mengelakkan arus elektrik terus mengalir.

"Pastikan semua soket dalam keadaan baik dan tidak dibebankan dengan penyesuai (adapter) dan kabel penyambung (extension cable)," katanya hari ini.

Menurutnya, selain itu pengguna perlu membuka gulungan wayar sambungan tambahan (extension wire) sepenuhnya untuk mengelakkannya menjadi terlalu panas jika digunakan.

"Gunakan alat pengukur masa sekiranya ingin memasang lampu bagi tujuan keselamatan supaya ia tidak menyala 24 jam.

"Malah, pengguna perlu memeriksa peralatan elektrik yang ingin digunakan bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik dan berfungsi dengan lancar," katanya.

Katanya, untuk kediaman yang akan menjadi tumpuan keluarga berkumpul, pengguna dinasihatkan supaya tidak menggunakan soket elektrik secara berlebihan bagi mengelakkan beban elektrik keterlaluan.

Pengguna dinasihatkan menghubungi TNB CareLine di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine untuk mendapatkan bantuan sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik pada cuti Tahun Baru Cina nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 12:35 PM