Ahmad Samsuri. FOTO ARKIB NSTP
Ahmad Samsuri. FOTO ARKIB NSTP
Oleh Zatul Iffah Zolkiply


Dungun: Pas belum memuktamadkan jumlah kerusi yang akan ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Naib Presiden Pas Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, masih terlalu awal untuk pihaknya membuat keputusan mengenai pengagihan kerusi.

Beliau berkata, parti itu juga tidak pernah ketinggalan bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

"Kalau tanya, kita tak pernah tak masuk (bertanding) mana-mana pilihan raya.

"Daripada merdeka kalau kita kata nak 56 (kerusi Dewan Undangan Negeri) pun ok tetapi berapa bilangan itu adalah merupakan strategi, jadi saya rasa tak perlu diperincikan (dengan jelas) di sini," katanya.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, Pas akan mengkaji kerjasama bersama Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) sekiranya Umno tetap dengan keputusan mahu bergerak solo dalam PRN Johor.

"Perkara ini perlu kita teliti perkara dari semasa ke semasa...jadi kalau kita sudah bercakap hari ini, mungkin esok lusa suasana yang lain.

"Jadi kita sedang menilai apa juga perkembangan politik yang berlaku dan mungkin kita akan membuat lebih awal atau saat akhir.

"Itu satu strategi yang tidak wajar untuk kami dedahkan," katanya.

Ahmad Samsuri berkata demikian ketika ditanya mengenai jumlah kerusi dan hala tuju perhubungan Pas dan Umno dalam menghadapi PRU Johor.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, barisan kepimpinan kanan BN akan mengkaji secara teliti tentang sebarang kemungkinan mengenai kerjasama politik dengan Pas.

Terdahulu, Ahmad Samsuri bersama Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Setiausaha Agung Pas hadir ke Majlis Perasmian Projek Large Scale Solar (LSS) 29.99 MWac Kenyir Gungkul Solar Sdn Bhd di Paka di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 4:34 PM