Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kerajaan negeri menyediakan laluan sementara Bas Smart Selangor bagi kemudahan penduduk di kawasan Taman Sri Muda yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan negeri, Ng Sze Han berkata, inisiatif itu dilaksanakan melalui Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi memudahkan pergerakan penduduk yang kenderaan mereka rosak akibat banjir.

"Kemudahan untuk penduduk Taman Sri Muda yang terkesan dengan banjir supaya mereka tidak buntu untuk keluar masuk akibat kerosakan kenderaan.

"Perkhidmatan ini sudah bermula pada 8 pagi hari ini sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.

LALUAN Bas Smart Selangor untuk penduduk Taman Sri Muda. FOTO Ihsan MBSA.
LALUAN Bas Smart Selangor untuk penduduk Taman Sri Muda. FOTO Ihsan MBSA.

"Waktu operasi bermula 6 pagi hingga 10 malam setiap hari dan kekerapan bas adalah setiap satu jam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ng berkata, laluan sementara itu membabitkan enam lokasi bermula di Hub Sri Muda yang terletak berhampiran pasar raya Mydin.

"Dari Hub Sri Muda itu, bas akan melalui laluan kedua di hadapan Balai Polis Sri Muda, laluan ketiga di Hentian Jalan Hasrat, laluan keempat di Pasaraya NSK, laluan kelima di Petron Sri Muda, dan laluan enam di Pangsapuri Andorra sebelum berpatah balik ke Hub Sri Muda," katanya.

Beliau berharap, semua penduduk Taman Sri Muda dapat memanfaatkan kemudahan pengangkutan awam itu terutamanya mereka yang kerosakan kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 6:14 PM