Zatul Iffah Zolkiply


Dungun: Walaupun sudah sering menjadi mangsa banjir, warga emas di Kampung Pasir Raja di sini tidak dapat menyembunyikan rasa takut setiap kali bencana itu melanda.

Selain kedudukan rumah yang terletak berhampiran sungai, penyakit saraf yang dihidapinya menyebabkan Kalsom Chik, 66, sentiasa dihantui kebimbangan dan tidak tidur lena tatkala tengkujuh bertandang terutama sekiranya hujan berterusan melanda kampung berkenaan.

Kalsom berkata, penyakit saraf yang dihidapinya sejak 27 tahun lalu membataskan pergerakannya yang perlu bergantung sepenuhnya kepada suami dan anak.

"Saya perlu dibantu suami dan anak jika ingin bergerak atau menggunakan tongkat, jadi bila musim tengkujuh memang risau terutama apabila hujan berterusan selama dua jam.

"Memang takut apabila melihat keadaan air yang naik terlalu cepat tetapi saya tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya mengharapkan ahli keluarga serta penduduk kampung dan agensi penyelamat.

"Mahu bergerak sendiri memang tidak boleh, jadi sebab itu kami akan keluar berpindah lebih awal apabila air sungai naik kerana tidak mahu menyusahkan mana-mana orang lain," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Raja di sini.

Nordin bersama Kalsom yang terlantar sakit ketika ditemui di kediamannya, Kampung Pasir Raja. FOTO GHAZALI KORI
Nordin bersama Kalsom yang terlantar sakit ketika ditemui di kediamannya, Kampung Pasir Raja. FOTO GHAZALI KORI

Sementara itu, Nordin Hamid, 66, berkata, penyakit dialami isterinya itu berpunca daripada demam panas yang dialaminya.

"Sejak kejadian itu, pergerakan isteri memang terbatas dan kami sekeluarga memang berjaga-jaga apabila memasuki musim tengkujuh.

"Biasanya apabila hujan berterusan dan air sungai semakin meningkat, kami memang bersiap sedia untuk berpindah dan memang tunggu bantuan orang untuk berpindah lebih awal.

"Dengan keadaan isteri selain kedudukan rumah yang berhampiran sungai adalah lebih baik kami berpindah awal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 2:06 PM