Zatul Iffah Zolkiply


Permaisuri: Bayi perempuan seberat tiga kilogram ditemui di sebuah pondok berhampiran ladang kelapa sawit di Kampung Tayor Sungai Tong, di sini, hari ini.

Bayi yang dipercayai baru dilahirkan dan masih bertali pusat itu ditemui penduduk kampung yang kebetulan melalui jalan berkenaan jam 12.20 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, pihaknya bergegas ke rumah wanita berusia 34 tahun yang juga pengadu sebaik menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu jam 6.40 pagi.

Beliau berkata, siasatan mendapati bayi itu ditemui dua lelaki yang kebetulan melalui jalan berkenaan untuk membeli makanan sebelum berhenti menyejukkan enjin kereta.

Katanya, ketika berada di kawasan berkenaan, mereka dikejutkan dengan suara tangisan yang disangka kucing namun melarikan diri kerana ketakutan.

PENDUDUK, Mohamad Firdaus Ramli, 28 menunjukkan lokasi penemuan bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan. FOTO Ghazali Kori
PENDUDUK, Mohamad Firdaus Ramli, 28 menunjukkan lokasi penemuan bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan. FOTO Ghazali Kori

"Bagaimanapun, mereka bersama seorang lagi rakan mengambil keputusan kembali ke pondok berkenaan pada jam 6 pagi untuk membuat pengesahan dan mendapati bayi yang hanya beralas dengan kain tudung masih berada di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Afandi berkata, bayi itu dibawa rumah pengadu di Kampung Teris, Kuala Berang, Hulu Terengganu sebelum wanita itu menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, bayi itu dibawa ke Hospital Hulu Terengganu namun dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk pemeriksaan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 6:43 PM