KEADAAN banjir di Kampung Batu Kapor, Mentakab, semalam. FOTO Bernama
KEADAAN banjir di Kampung Batu Kapor, Mentakab, semalam. FOTO Bernama
BERNAMA

Temerloh: Bandar Mentakab tidak ubah seperti lautan 'teh tarik' tanpa kelihatan lagi ketamadunan manusia.

Tinjauan udara Bernama bersama Pasukan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati, bandar seluas 10,000 hektar terletak di tengah-tengah negeri Pahang itu seakan-akan hilang daripada pandangan mata, dek kerana banjir besar 'menyerang' bandar itu pada Ahad.

Lebih memilukan, biarpun cuaca cerah mulai menyinari bandar itu sejak Rabu, tiada tanda banjir itu akan surut dengan cepat.

Penduduk Mentakab, Sarimah Derami, 57, yang melalui pengalaman banjir sebanyak dua kali pada tahun ini, merasa fobia setiap kali hujan lebat membasahi bandar itu.

Menurutnya, kejadian pertama pada Januari lalu menyebabkan rumahnya di Bangau Tanjung, di sini ditenggelami air, sekali gus memusnahkan hampir keseluruhan harta bendanya.

"Setiap kali hujan lebat lebih dua jam, pasti air akan naik, sampai bila kami (penduduk) di sini perlu lalui semua ini, barang di rumah belum cukup setahun lagi… kini dah tenggelam lagi.

"Hujan lebat berterusan dua hari sahaja sudah banjirkan kawasan ini berbanding hujan lima hari pada kejadian banjir awal tahun lalu.

"Saya harap sangat satu tindakan lebih baik boleh dilakukan dalam mengatasi masalah banjir di Mentakab ini," katanya ketika ditemui Bernama, hari ini.

Awal Januari lalu, landskap bandar Temerloh termasuk Mentakab berubah seperti air sungai keruh berwarna lumpur, susulan banjir besar melanda daerah itu sehingga menenggelamkan sebahagian besar penempatan penduduk, dengan air naik melepasi paras bumbung bangunan.

Tidak terus berduka dengan apa yang berlaku, mangsa banjir, Saharudin Othman mengorak langkah baharu bagi menjana pendapatan keluarga.

Usahawan berusia 44 tahun itu tidak patah semangat dan menggunakan kesempatan menjala ikan di Sungai Semantan, yang akhirnya memberikan hasil apabila tangkapannya dijual kepada penduduk setempat.

"Kawasan rumah saya di Kampung Lompat, Mentakab dinaiki air dan saya tidak boleh berdiam diri sahaja, untuk menyara keluarga dalam musim banjir ini.

"Saya bersyukur apabila hasil tangkapan antaranya ikan patin dan baung dibeli penduduk yang turut terjejas akibat banjir, sehingga boleh menjana pendapatan sehingga RM400 sehari," katanya.

Saharudin berkata, dia bersyukur pelbagai bantuan dari anggota penyelamat dan badan bukan kerajaan (NGO) diterima penduduk setempat dan berterima kasih dengan kemurahan hati rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 7:15 PM