PPS di Dewan Serbaguna Kampung Shukor. FOTO BERNAMA
PPS di Dewan Serbaguna Kampung Shukor. FOTO BERNAMA
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Dua daerah di Terengganu masih lagi terjejas akibat banjir sekali gus menyaksikan seramai 288 mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Kesemua mangsa daripada 68 keluarga itu kini ditempatkan di tujuh PPS di daerah Kemaman dan Dungun.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, seramai 145 mangsa daripada 38 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Dungun.

Ia menunjukkan sedikit penurunan berbanding petang semalam yang merekodkan seramai 158 mangsa daripada 41 keluarga di tiga PPS.

Penurunan itu susulan penutupan PPS Dewan Orang Ramai Kampung Minda malam tadi apabila 13 mangsa daripada tiga keluarga dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Seramai 74 mangsa membabitkan 17 keluarga masih ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja.

Jumlah mangsa di Dewan Serbaguna Kampung Shukor juga kekal apabila 71 mangsa daripada 21 keluarga masih ditempatkan di PPS berkenaan.

Sementara itu, lima PPS di Kemamam masih dibuka bagi menempatkan 143 mangsa daripada 30 keluarga.

Lima PPS berkenaan adalah PPS Dewan Sekolah Kebangsaan(SK) Lembah Jabor, Dewan Sivik Air Putih, Surau Kampung Ban Ho, Masjid Tebak Batu 16 dan Balai Raya Lubuk Megat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 9:56 AM