GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) hari ini mengesahkan pengesanan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) pada babi hutan di Bidor dan Sungkai, di Perak, serta Jerantut di Pahang.

Penularan wabak itu disahkan oleh Institut Penyelidikan Veterinar (VRI), Ipoh melalui teknik Real-Time Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan analisis sequencing yang menunjukkan virus jenis strain Genotype II pada 6 Disember (Perak) dan 7 Disember (Pahang).

JPV dalam kenyataan media hari ini memaklumkan tindakan pengawalan dan pencegahan rebakan (outbreak) penyakit berkenaan telah dilaksanakan, antaranya memperketatkan syarat pindah babi di seluruh Semenanjung dan libat urus biosekuriti ladang oleh pengusaha ladang babi komersil.

Langkah lain yang turut dijalankan adalah persampelan, pemantauan dan pemeriksaan klinikal di ladang dan rumah sembelih babi di seluruh negara serta mewujudkan kerjasama dengan pihak Perhilitan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan agensi terlibat dalam perladangan sawit.

"Bagaimanapun wabak berkenaan yang hanya membabitkan babi hutan adalah terkawal dan tidak membabitkan ladang babi komersil," menurut kenyataan itu.

Sementara itu JPV menasihatkan penternak babi dan orang awam untuk tidak panik kerana wabak berkenaan tidak berjangkit kepada manusia.

"Penternak babi diminta meningkatkan biosekuriti di ladang babi masing-masing bagi mencegah penularan penyakit ASF pada babi komersil," menurut kenyataan berkenaan.

Selain itu, JPV menggalakkan penternak dan orang awam untuk melaporkan kematian luar biasa membabitkan babi hutan, babi kampung atau komersil, kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri berdekatan atau menghubungi Hotline Bilik Pengurusan Krisis Jabatan Perkhidmatan Veterinar Putrajaya dengan menelefon 03-88702041.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 8:31 PM