PENDUDUK setempat mengutip lala yang terdampar di Pantai Pontian. FOTO Mohd Rafi Mamat.
PENDUDUK setempat mengutip lala yang terdampar di Pantai Pontian. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Mohd Rafi Mamat


Rompin: Penduduk di kawasan Pantai Pontian, di sini, gempar dengan kemunculan hidupan laut seperti lala, siput dan kepah di pesisir pantai itu sejak seminggu lalu.

Kemunculan lala yang 'terdampar' di pesisir pantai berkenaan membuatkan orang ramai berkunjung ke pantai terbabit bagi mengutip hidupan bercengkerang itu.

Seorang penduduk Rosli Sulong, 51 berkata, dia menjadi antara individu terawal menemui lala yang bertaburan di atas pasir pantai di Kuala Pontian di sini.

"Saya memang biasa ke kawasan itu untuk menjala ikan, tetapi baru-baru ini saya menemui banyak lala sehingga pernah mengumpul seguni hidupan itu," katanya.

Dia yang berasal dari Sungai Puteri, di sini, berkata, selain dijadikan sajian, dia turut memberikannya kepada saudara, jiran dan rakan-rakan.

Bagi Azhar Abdullah, 22, dia dan rakan-rakannya turun ke pantai hampir setiap petang bagi mencari kepah untuk dijadikan sajian keluarga.

Katanya, walaupun semakin berkurangan namun kepah bersaiz kecil itu masih terdapat di dalam air laut di sekitar Pantai Pontian hingga ke kawasan Tanjung Gemok, di sini.

Katanya, kemunculan hidupan laut itu menjadi rezeki kepada penduduk setempat yang turut menjualnya.

Sementara itu Pengarah Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, kejadian itu adalah fenomena biasa akibat perubahan cuaca menyebabkan pergerakan lala dan kepah berkenaan.

"Saya sudah mengarahkan pegawai Pejabat Perikanan Daerah Rompin untuk menyiasat lebih lanjut kerana kejadian itu turut menimbulkan kebimbangan penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 10:16 PM