Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tersentuh hati apabila bertemu dengan anak mangsa kemalangan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), enam tahun lalu.

Ismail Sabri berkongsi video pertemuannya dengan Nur Firuza Amira yang kini berusia 13 tahun, anak sulung Allahyarham Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya, Nova Safitri Azhari, 25, yang meninggal dunia dalam tragedi itu.

"Perasaan terharu, namun bercampur gembira apabila bertemu Amira.

"Kalau kalian semua masih ingat, Amira menjadi yatim piatu apabila kedua ibu bapanya terbabit kemalangan di Lebuhraya DUKE pada 2015.

"Amira juga anak angkat saya, kini telah pun berusia 13 tahun. Ketika peristiwa itu berlaku, Amira baru sahaja berusia tujuh tahun," katanya menerusi Instagram hari ini.

Beliau turut mendoakan remaja itu sentiasa sihat dan di bawah lindungan dan rahmat Allah SWT.

"Atuk sayang Amira," tulisnya lagi.

Tragedi yang mengorbankan pasangan terbabit termasuk anak bongsu mereka, Nur Firuza Annisa pada Mei 2015 itu mencetuskan kemarahan orang ramai apabila kemalangan itu didakwa berlaku berpunca daripada kecuaian pemandu lain.

Sejak kematian pasangan itu, Amira dan adiknya, Nur Firuza Aqila dijaga oleh ibu saudara mereka yang juga kakak kepada bapa mereka, Yusnida Hussain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 4:09 PM
Ismail ketika bertemu dengan Amira. FOTO IG ISMAIL SABRI
Ismail ketika bertemu dengan Amira. FOTO IG ISMAIL SABRI