AYOB (kiri) dan Mohd Khairi (kanan) menunjukkan daun ketum yang dirampas. FOTO Zuliaty Zulkiffli
AYOB (kiri) dan Mohd Khairi (kanan) menunjukkan daun ketum yang dirampas. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Cubaan menyeludup lebih tiga tan daun ketum ke negara jiran menggunakan jalan laut gagal apabila anggota Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) Hulu Kinta, Perak menahan sebuah lori di Jalan Kuala Kedah, malam tadi.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 1 PGA Hulu Kinta Deputi Superintendan Ayob Ismail berkata, pasukan risik Kompeni D Batalion 1 terserempak dengan lori yang dipandu lelaki berusia 30-an itu dalam keadaan mencurigakan pada 11.45 malam tadi.

Beliau berkata, pasukan risik kemudian mengarahkan pemandu lori itu memberhentikan kenderaannya untuk pemeriksaan.

"Pemandu lori itu dipercayai berasal dari Kubang Rotan di Kuala Kedah.

"Hasil pemeriksaan di belakang lori itu menemui sejumlah besar beg plastik sampah hitam yang mengandungi daun disyaki daun ketum," katanya pada sidang media di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) di sini hari ini.

Hadir sama, Komander Aksem Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintendan Mohd Khairi Abdullah.

Ayob berkata, anggota risik kemudian menahan pemandu terbabit dan merampas kesemua bungkusan berisi daun ketum itu ke pejabat PGA Bukit Kayu Hitam, di sini, untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, anggaran berat kasar daun ketum itu dianggarkan lebih tiga tan dan bernilai RM96,000.

"Kami percaya daun ketum ini dibawa menggunakan lori dari daerah Padang Terap menuju ke Kuala Kedah untuk menggunakan laluan laut bagi tujuan menyeludup ke negara jiran.

"Modus operandi mereka gunakan juga sudah berubah kerana sebelum ini mereka menggunakan askar semut (motosikal atau kereta) tetapi sekarang menggunakan kenderaan perdagangan iaitu lori untuk menyeludup daun ketum," katanya.

Ayob berkata, ini berikutan permintaan terhadap daun ketum semakin meningkat namun disebabkan pagar sempadan dikawal ketat, mereka menggunakan pelbagai alternatif untuk menyeludup.

Beliau berkata, lori itu turut dirampas dan nilai termasuk daun ketum dianggarkan sebanyak RM146,000.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 5:53 PM