Rakaman CCTV menunjukkan suspek (kanan) mengambil wang tunai di kaunter pasar mini di Kampung Baru, Sungai Tiang selepas penjaga kaunter pasar mini itu (kiri) enggan menyerahkan lesen dan Mykad. FOTO Ihsan Pembaca
Rakaman CCTV menunjukkan suspek (kanan) mengambil wang tunai di kaunter pasar mini di Kampung Baru, Sungai Tiang selepas penjaga kaunter pasar mini itu (kiri) enggan menyerahkan lesen dan Mykad. FOTO Ihsan Pembaca
Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Lelaki tidak sempat berjoli wang tunai RM300 yang dilarikan dari sebuah pasar mini di Kampung Baru, Sungai Tiang, di sini, apabila ditahan polis tidak sampai lima jam selepas kejadian, semalam.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, kejadian berlaku kira-kira 7.15 malam apabila suspek berusia 30-an yang memakai topi, pelitup muka dan cermin mata hitam meminta penjaga kaunter premis itu menyerahkan lesen memandu dan Mykad miliknya.

Menurutnya, mangsa berusia 20-an enggan berbuat demikian lalu suspek bertindak membuka laci kaunter dan mengambil wang tunai RM300 sebelum melarikan diri menaiki sebuah kereta.

Katanya, bertindak atas laporan polis dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pihaknya berjaya mengesan suspek.

"Sepasukan anggota polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Baru dan menangkap suspek di dalam rumah berkenaan pada 11.30 malam tadi.

"Kita turut merampas wang tunai RM300 dipercayai wang yang dilarikan dari kedai runcit berkenaan untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek yang masih bujang mempunyai pelbagai rekod jenayah termasuk dadah sebelum ini dan saringan ujian air kencing juga didapati negatif dadah.

"Suspek direman enam hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 5:32 PM