ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran dalam kejadian tengah malam semalam. FOTO Ihsan Bomba Perak
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran dalam kejadian tengah malam semalam. FOTO Ihsan Bomba Perak
Balqis Jazimah Zahari


Batu Gajah: Pasukan bomba mengambil masa lebih empat jam bagi mengawal dan memadam kebakaran tiga kedai dua tingkat di Jalan Besar, Pusing Taman Ria di sini tengah malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.30 malam memaklumkan berhubung kejadian sebelum anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Kebakaran membabitkan tiga kedai dua tingkat. Kedai pertama musnah terbakar 80 peratus di tingkat atas dan bawah, kedai kedua 70 peratus tingkat atas dan bawah dan kedai ketiga 40 peratus bahagian bawah sahaja.

"Bagaimanapun, kejadian tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah dibantu jentera BBP Pasir Puteh dan Seri Iskandar yang tiba di lokasi bertindak melakukan operasi memadam kebakaran.

"Pasukan bomba yang tiba bertindak membuat pemadaman menggunakan tiga aliran dan lima pancutan 60 meter sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.

"Keseluruhan operasi tamat pada jam 4.54 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 10:41 AM