FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan membatalkan pas dan kemudahan Imigresen yang diberikan kepada warganegara asing yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sejak akhir ini tular di dalam media sosial isu warganegara asing yang melanggar SOP pencegahan Covid-19.

"Malahan terdapat dalam kalangan mereka yang sengaja mencabar pihak berkuasa supaya mengambil tindakan ke atas mereka.

"Sehubungan dengan itu, JIM menasihatkan supaya semua warganegara asing mematuhi arahan dan peraturan semasa agensi-agensi kerajaan berhubung langkah-langkah pencegahan pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membatalkan pas dan sebarang kemudahan Imigresen yang telah diberikan.

"Mereka juga akan diusir pulang ke negara asal dan disenarai hitamkan dari memasuki negara ini semula, sepertimana yang diperuntukkan di dalam Seksyen 8 dan Seksyen 9 Akta Imigresen 1959/63.

"JIM juga mengingatkan warga tempatan yang menjadi penaja atau majikan kepada warganegara asing supaya lebih bertanggungjawab dalam memastikan warga asing ini patuh kepada arahan dan undang-undang negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 3:05 PM