GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Peningkatan kes pelantikan talian voltan tinggi akibat kerja pembinaan berhampiran kawasan rizab talian Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang melonjak tujuh kali ganda dalam tempoh 10 bulan tahun ini membimbangkan syarikat utiliti negara itu.

Ketua Pegawai Grid TNB Datuk Ir Husaini Husin berkata, pada tahun lalu hanya satu kes pelantikan dicatatkan.

"Namun bagi tahun ini sehingga Oktober, kes pelantikan disebabkan kerja-kerja pembinaan oleh pemaju dalam rentis TNB melonjak kepada lapan kes.

"Kami khuatir jika ada lagi pemaju yang masih mengingkari nasihat kami untuk menjauhi rentis talian penghantaran TNB, kes pelantikan tahun ini kembali meningkat kepada dua digit seperti yang dilaporkan pada 2018 dengan 18 kes," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kes pelantikan bukan sahaja boleh menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa, malah mengganggu-gugat kestabilan dan keselamatan sistem grid nasional yang menyalurkan bekalan elektrik kepada hampir 9.5 juta pelanggan di Semenanjung Malaysia termasuk operasi sektor perindustrian dan perdagangan.

"Individu atau objek yang berada terlalu hampir dengan talian voltan tinggi boleh menyebabkan berlakunya percikan arka walaupun tiada sentuhan fizikal.

"Bagi menangani isu ini, TNB mengambil pelbagai langkah proaktif seperti membuat pemantauan dan mengenal pasti projek tanpa kelulusan serta membuat rondaan sepanjang talian bagi mengenalpasti kawasan berisiko tinggi.

"Sesi libat urus dengan pihak berkuasa tempatan juga dilakukan selain usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemaju dan penduduk sekitar melalui pengedaran risalah, pemasangan papan tanda amaran, penggunaan kamera keselamatan pintar, memasang penghadang had ketinggian sementara serta meletakkan penanda sempadan di kawasan rentis TNB," katanya.

Menurutnya, lebar rentis menara talian penghantaran adalah antara 20 ke 35 meter dari garisan tengah talian ke arah kiri dan kanan talian.

"Sebarang projek pembangunan hendaklah diawasi oleh Jurutera Kompeten Suruhanjaya Tenaga dan Pegawai Keselamatan.

"Taklimat mengenai keselamatan di sekitar talian penghantaran dijalankan di ladang dan di kilang, selain dari pemasangan papan tanda keselamatan di kawasan kilang yang berada berhampiran dengan talian penghantaran.

"Di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), mana-mana pihak yang membuat aktiviti berhampiran dengan pepasangan elektrik tanpa kebenaran dan berkemungkinan mengganggu pepasangan elektrik ini atau menyebabkan bahaya kepada mana-mana orang atau harta, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya," katanya.

Katanya, jenis aktiviti yang tidak dibenarkan di kawasan rentis dan berhampiran termasuk aktiviti permainan, rekreasi, riadah dan sukan seperti joging, bermain layang-layang, memancing atau alat permainan kawalan jauh seperti dron.

"Aktiviti menggunakan kren atau jentera berat untuk kerja pembinaan serta kerja mengambil, menambak, memotong dan membuang tanah.

"Aktiviti berlindung dan berteduh semasa cuaca buruk seperti petir, angin ribut, hujan, pembakaran secara terbuka, membuang sampah dan tempat menyimpan barang-barang.

"Selain itu, aktiviti membina kolam dan mengorek lombong atau melebarkan atau pendalaman sungai, aktiviti memasang tiang bendera dan membina struktur melebihi enam kaki, aktiviti membawa galah aluminium dengan kaedah secara menegak melintasi talian penghantaran voltan tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 4:37 PM