Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kewujudan Waqaf Felda yang dilancarkan hari ini dijangka dapat mengurus aset bernilai RM500 juta menjelang 2030 sekali gus membantu golongan memerlukan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, objektif penubuhan Waqaf Felda bagi menyokong pembentukan model perniagaan baharu, menyemai benih keberkatan, menyuburkan kebajikan dan sumbangan kepada komuniti serta mengukuhkan kelestarian Felda.

Katanya, platform itu akan memangkin ekonomi luar bandar melalui kewujudan peluang pekerjaan dan perniagaan yang biasanya tidak ditembusi oleh syarikat korporat lain dengan objektif lebih terarah kepada memaksimumkan keuntungan.

"Waqaf Felda akan melaburkan semula sebahagian keuntungan pelaburan awal yang disumbangkan Felda sendiri dan agensi seperti FGV Holdings Berhads, Koperasi Permodalan Felda dan MSM Holdings Berhad dan beberapa agensi berkaitan Felda yang lain.

ISMAIL Sabri menyampaikan Sijil Keahlian Wakaf Felda kepada Amiruddin Abdul Satar sambil diperhatikan Mohd Daud Bakar (kiri). FOTO Hairul Anuar Rahim
ISMAIL Sabri menyampaikan Sijil Keahlian Wakaf Felda kepada Amiruddin Abdul Satar sambil diperhatikan Mohd Daud Bakar (kiri). FOTO Hairul Anuar Rahim

"Ia bagi membolehkan Waqaf Felda ini dapat bergerak dengan lebih mampan sekali gus mampu memberi manfaat kepada lebih ramai warga Keluarga Malaysia yang memerlukan.

"Sebanyak 30 peratus keuntungan yang diperoleh Waqaf Felda ini akan diperuntukkan kepada kebajikan, lima peratus akan disalurkan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) manakala selebihnya akan dilabur semula," katanya ketika Majlis Pelancaran Waqaf Felda di Menara Felda, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengerusi MAIWP Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

Sebagai permulaan, beliau berkata, Felda akan menyalurkan dana bernilai RM10 juta dalam Waqaf Felda bagi merealisasikan hasrat itu.

"Sehubungan itu, saya meletakkan harapan untuk Felda mengambil peluang ini bagi mempelopori Revolusi Industri 4.0 atau masyarakat 5.0 dalam pelaksanaan wakaf dan seterusnya mengangkat Felda sebagai peneraju ekonomi luar bandar.

"Insya-Allah, dengan tadbir urus yang jitu, Waqaf Felda akan mampu menguruskan aset sehingga RM500 juta menjelang 2030 seperti yang diaspirasikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 5:25 PM