GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Kesilapan notifikasi status Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) serta individu dalam pemantauan (PUS) menerusi aplikasi MySejahtera sudah dipadamkan dan diperbetulkan.

Aplikasi itu menerusi Twitternya @my_sejahtera hari ini berkata, pihaknya sudah menyelesaikan masalah yang menjadi punca perkara itu berlaku.

"Selamat pagi semua. Kami minta maaf di atas kesulitan yang berlaku apabila pengguna aplikasi itu secara rambang diberi status HSO dan PUS," katanya.

Terdahulu, pengguna Twitter @zool_hilmi memohon Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyelesaikan isu berbangkit kerana ia menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

"Perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Bagaimana kami nak keluar rumah apabila aplikasi itu perlu digunakan di semua tempat," katanya.

Sementara itu, pengguna @frzshzwn meminta isu notifikasi status PUS yang salah diperbetulkan segera.

"Terkejut tiba-tiba jadi PUS. Naya tak pernah pergi luar negara tiba-tiba dapat dapat status PUS," katanya.

Pengguna @DeviPrisla pula keliru bagaimana dia tergolong dalam kalangan PUS.

"Aplikasi itu menunjukkan saya mempunyai status PUS. Saya menyedarinya awal pagi ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 12:24 PM