Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, melancarkan sambutan Bulan Keluarga Malaysia yang akan disambut November setiap tahun.

Seiring dengan semangat dan aspirasi Keluarga Malaysia, beliau mengisytiharkan mulai tahun ini, Bulan Keluarga Kebangsaan yang diisytihar sejak November 2012 akan dikenali sebagai Bulan Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, penjenamaan semula itu platform menyemarakkan keutuhan dan keterangkuman dalam Keluarga Malaysia, sekali gus menjamin kemakmuran serta perpaduan sebuah keluarga besar.

"Konsep Keluarga Malaysia yang ideanya saya cetuskan sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 22 Ogos lalu memfokus kepada usaha menyatupadukan rakyat Malaysia dalam sebuah keluarga besar bagi menghadapi cabaran krisis berkembar iaitu ekonomi dan Covid-19.

"Keluarga Malaysia bertunjangkan tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran yang mempunyai visi jangka panjang untuk memulihkan negara dengan pendekatan kekeluargaan.

"Seiring dengan semangat dan aspirasi Keluarga Malaysia, saya mengisytiharkan mulai tahun ini, Bulan Keluarga Kebangsaan akan dikenali sebagai Bulan Keluarga Malaysia," katanya berucap merasmikan Bulan Keluarga Malaysia di Taman Botani Perdana, di sini, hari ini.

ISMAIL Sabri bersama Rina (kanan) beramah mesra dengan pengunjung yang hadir pada Majlis Pelancaran Bulan Keluarga Malaysia 2021 di Taman Botani Perdana Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
ISMAIL Sabri bersama Rina (kanan) beramah mesra dengan pengunjung yang hadir pada Majlis Pelancaran Bulan Keluarga Malaysia 2021 di Taman Botani Perdana Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim.

Perdana Menteri berkata, Konsep keluarga bukanlah asing untuk semua kerana frasa keluarga itu bersifat inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

"Institusi keluarga adalah institusi utama dalam kewujudan sebuah negara, sehinggalah tercetusnya konsep Keluarga Malaysia dalam pentadbiran kerajaan hari ini," katanya.

Ismail Sabri berkata, selain penyertaan kementerian dan kerajaan negeri sebagai penggerak utama program, kerajaan amat berharap sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti turut mengambil bahagian supaya program kesejahteraan keluarga dilaksanakan sebaik dan sebanyak mungkin mengikut kapasiti masing-masing.

Katanya, penganjuran program juga boleh dilakukan pada peringkat nasional secara gandingan kerjasama dengan agensi kerajaan sebagai satu acara nasional negara bagi mempertingkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

"Keluarga memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan sistem nilai daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.

"Sekiranya institusi ini hebat, maka akan hebatlah sesebuah negara itu.

"Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan penting kerana anak-anak ibarat sepohon pokok yang jika disirami dan dibaja dengan baik, pasti ia menghasilkan buah yang elok dan seterusnya menjadi benih yang berkualiti tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 12:08 PM