GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Penemuan tulang kaki manusia oleh seorang lelaki di tepi Sungai Jebong, di Kuala Sepetang, Taiping pada Rabu lalu, membawa kepada penemuan rangka badan serta tengkorak manusia dipercayai dibunuh lalu dibungkus dalam kain sebelum ditanam di kawasan berhampiran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, bedah siasat dijalankan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) ke atas tulang kaki itu sehari selepas dijumpai bagaimanapun gagal mengenal pasti punca kematian.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat susulan penemuan tulang kaki itu, polis menahan seorang lelaki yang merupakan orang pengawasan polis (OPP) pada Jumaat lalu selepas dia didapati melanggar syarat pengawasan di bawah Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah 1959.

Katanya, soal siasat ke atas suspek yang juga penganggur berusia 34 tahun itu mendapati dia mengaku bergaduh dengan teman wanitanya berusia 31 tahun ketika berada di sebuah rumah dalam kawasan taman perumahan sebelum memukul wanita itu hingga mati.

"Suspek membawa polis ke lokasi mangsa dibunuhnya serta ditanam. Mangsa dianggarkan mati dua minggu sebelum mayatnya dijumpai memandangkan bahagian tubuh badan hingga paras pinggang termasuk bahagian kepala yang ditanam bersama bungkusan kain itu ditemui dalam keadaan mereput sepenuhnya.

"Suspek kini dalam tempoh tahanan reman sehingga 6 November ini bagi siasatan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Reman ke atas suspek dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kertas siasatan lengkap akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat bagi arahan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 8:07 PM